
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi menaik taraf infrastruktur jalan raya di sekitar Bukit Jalil sebagai sebahagian usaha memastikan pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil berjalan terancang tanpa membebankan aliran trafik.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek itu dibangunkan sebagai ekosistem bandar bersepadu yang menyediakan kediaman mampu milik bersama kemudahan asas dan rekreasi.
Menurutnya, pembangunan berkonsepkan 15-Minute Walkable City itu merangkumi klinik kesihatan moden, dewan serbaguna, ruang penjaja, kios polis, surau serta kemudahan pengangkutan yang dihubungkan melalui laluan pejalan kaki berbumbung.
Projek berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun bagi memastikan pembangunan kediaman selari dengan kesiapsiagaan infrastruktur.
Peruntukan RM250 juta itu turut meliputi pembinaan jalan baharu empat lorong dan dua jambatan baharu bagi melancarkan pergerakan trafik.
Kerajaan MADANI komited menjadikan projek itu sebagai model pembangunan bandar yang terancang, inklusif dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
