





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan FB JIM
7 FEB. 2025
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggempur sepuluh premis penginapan yang didiami oleh warga asing di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang dalam satu operasi
penguatkuasaan pada 6 Februari 2025.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pukul 12.05 tengah malam itu melibatkan 51 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga hari,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
PASUKAN OPERASI DIATUR
Zakaria berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi diatur gerak ke premis penginapan tersebut dan telah memeriksa seramai 110 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, seramai 66 warganegara asing yang terdiri daripada 28 lelaki, 30 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia, enam lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Myanmar telah ditahan.
Katanya, kesemua mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek. (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Sek. 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63
(Akta 155).
DIHANTAR KE DEPOT
Kesemua warganegara asing yang ditahan telah dihantar ke Depot
Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Tindakan tegas juga akan diambil
terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi Pendatang Tanpa Izin (PATI). – JM
