KDN haramkan tiga judul buku

Oleh: Sholina Osman
9 FEB. 2025

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari 2025 terhadap tiga tajuk penerbitan yang mungkin memudaratkan kemoralan
melalu Warta Kerajaan.

Kenyataan media KDN memaklumkan ia melibatkan buku “My Shadow Is Purple” oleh Scott Stuart melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2025 [P.U.(A) 26] berkuat kuasa pada 21 Januari 2025

Buku “Koleksi Puisi Masturbasi” oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali)
melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan
Tidak Diingini) (No. 2) 2025 [P.U.(A) 31] berkuat kuasa pada 22 Januari
2025.

PERINTAH MESIN CETAK

Satu lagi buku “All That’s Left In The World” oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2025 [P.U.(A) 32] berkuat kuasa pada 22 Januari 2025.

“Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

KESEMUA HASIL PENERBITAN

Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan yang berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan,
penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan tiga (3) hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Adalah diingatkan bahawa, berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan,
menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud
seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan
peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan
kesejahteraan bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *