KPDN akan kerjasama dengan MOF kenalpasti lebih banyak premis laksana SARA – Armizan

Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2025

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengenal pasti lebih banyak premis untuk dilibatkan dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini akan meningkatkan akses kepada penerima SARA untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah di kawasan berdekatan.

“Fokus akan ditumpukan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman dengan mengambil kira keadaan geografi dan tahap infrastruktur yang menyukarkan golongan sasar untuk membeli barangan keperluan di premis berdekatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Armizan berkata, bagi bantuan SARA 2025 pula, penerima akan diberikan bantuan sebanyak RM50 hingga RM200 sebulan mengikut kategori kelayakan masing-masing yang akan dikreditkan di dalam MyKAD, untuk mendapatkan barangan
keperluan asas di pasar raya atau kedai runcit yang terpilih.

PARA PENERIMA BANTUAN

Beliau berkata, setakat 13 Februari 2025, para penerima bantuan SARA boleh mendapatkan barangan keperluan di 1700 premis pasar raya dan kedai runcit seluruh negara yang terlibat.

“Bermula tahun 2025, pelaksanaan SARA menggunakan MyKAD juga telah diperluaskan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Melalui peluasan ini, kata Armizan, bantuan SARA akan dikreditkan setiap bulan ke dalam MyKAD penerima berbanding kaedah pemberian tunai dua kali setahun sebelum ini.

“Setakat ini, sebanyak 340 premis
di Sabah dan 320 premis di Sarawak terlibat dalam pelaksanaan SARA,” katanya.

KPDN MENYASARKAN PELAKSANAAN

Beliau berkata, Untuk tahun 2025, KPDN menyasarkan pelaksanaan sekurang-kurangnya 2 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sebulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan merentasi pelbagai kementerian dan agensi dalam menangani isu kos sara hidup
rakyat termasuk pemberian bantuan tunai,” jelasnya.

Antaranya, kata Armizan, di bawah MOF, kerajaan terus memperluaskan pemberian bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.

Katanya, sebanyak RM13 bilion diperuntukkan untuk program STR dan SARA bagi tahun 2025, iaitu peningkatan RM3 bilion berbanding tahun 2024.

SEBANYAK RM8 BILION

Daripada jumlah tersebut, beritahu beliau, sebanyak RM8 bilion diperuntukkan untuk STR manakala RM5 bilion pula untuk pelaksanaan SARA.

“Pemberian bantuan melalui STR dan SARA akan memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima berpendapatan rendah khususnya dalam senarai e-kasih daripada kategori isi rumah, warga emas tanpa pasangan dan golongan bujang,” jelasnya.

Armizan berkata, ia merangkumi lebih 120,000 penerima di negeri Sabah dan 110,000 penerima di negeri Sarawak.

Melalui bantuan STR 2025 ini, tambahnya, penerima akan mendapat bantuan tunai antara RM500 sehingga RM2,500 setahun mengikut kategori kelayakan masing-masing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *