Siasatan kes rasuah 4 pegawai kanan bekas PM masih peringkat awal – SPRM

Oleh: Sholina Osman
25 FEB. 2025

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan berkaitan kes rasuah terhadap empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri masih diperingkat awal.

Kenyataan media SPRM memaklumkan siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih diperingkat awal.

Susulan siasatan ini juga katanya, SPRM masih belum boleh mendedahkan hasil-hasil penemuan berhubung kes ini termasuk nilai wang atau aset-aset yang dijumpai.

SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.

SIASATAN SECARA ADIL

Justeru, SPRM meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya ini menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional.

SPRM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat mengenai siasatan dijalankan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Pada Jumaat lepas, SPRM menahan reman empat pegawai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya.

Menurut sumber rapat SPRM, tiga daripada individu terbabit direman selama lima hari bermula Jumaat, manakala seorang lagi direman selama tiga hari dan telah dibebaskan pada Ahad (23 Feb). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *