Malaysia atasi sasaran KDNK, defisit fiskal 2024 – PMX

Oleh: Sholina Osman
26 FEB. 2025

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024 (2023: 3.6 peratus) melebihi unjuran awal Kerajaan sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Kerajaan MADANI juga mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1 peratus (2023: 5 peratus) berbanding sasaran 4.3 peratus.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk mengubah ekonomi Malaysia, dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta disokong oleh kestabilan politik.

“Kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu Kerajaan MADANI dan industri,” katanya dalam kenyataan media Kementerian Kewangan.

KEKAL KOMITED SEPENUHNYA

Menjelang tahun 2025 katanya, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke
tahap yang lebih tinggi.

Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam:

  • Penggunaan swasta meningkat sebanyak 5.1 peratus (2023: 4.7 peratus)
  • Pelaburan meningkat sebanyak 12 peratus (2023: 5.5 peratus)
  • Jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion; dan
  • Aliran masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion).

Beliau berkata, penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk:

  • Inflasi menyederhana kepada 1.8 peratus (2023: 2.5 peratus) dan
  • Kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus (2023: 3.4 peratus) dengan trend
    menurun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.

MENGUNJURKAN EKONOMI BERKEMBANG

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025 didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat
Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun
pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, permintaan luaran yang lebih lemah daripada rakan dagang utama, peningkatan ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan
boleh mendatangkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi.

Bagi tahun 2024, penambahan pinjaman bersih Kerajaan menurun kepada RM76.8 bilion, pengurangan ketara berbanding RM92.6 bilion pada tahun 2023.

Kerajaan MADANI komited untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam
pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka
kerja fiskal yang lebih kukuh. Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3 peratus
dalam jangka masa sederhana untuk kemampanan kewangan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *