
Oleh: Sholina Osman
27 FEB. 2025
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan sebanyak 579 permit kepada penggiat seni jalanan bagi memastikan ekosistem seni ini berkembang dengan lebih teratur dan profesional sejak tahun 2014.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah ini, 374 permit diberikan kepada penghibur dalam kategori Seni Persembahan Muzik (SPM).
Tambahnya, manakala 205 permit lagi diberikan kepada mereka dalam kategori Seni Visual Kreatif (SVK) seperti badut, silap mata, maskot dan pelukis inai.
“Ia bagi memastikan aktiviti seni jalanan dapat dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
MARTABAT PENGHIBUR JALANAN
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran di Dewan Rakyat hari ini mengenai usaha DBKL dalam mengangkat martabat penghibur jalanan serta cabaran yang mereka hadapi dalam mendapatkan permit.
“DBKL telah menyediakan 16 lokasi rasmi bagi aktiviti busking di sekitar ibu kota,” katanya.
Dr Zaliha berkata, ia merangkumi kawasan zon komersial dan pelancongan seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Medan Pasar, River of Life, Brickfields dan Jalan Alor, serta zon rekreasi dan sosial seperti taman-taman awam dan medan selera DBKL yang bersesuaian.
Tambahnya, untuk memastikan buskers beroperasi secara sah dan berkualiti, DBKL mewajibkan setiap pemegang permit untuk menghadiri Bengkel Pemantapan KL Street Artist setiap kali memperbaharui permit.
PERATURAN LOKASI PERSEMBAHAN
“Bengkel ini bertujuan memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai peraturan lokasi persembahan, had bunyi, keselamatan, serta teknik dan etika persembahan profesional,” katanya.
Selain itu, katanya, Task Force KL Street Artist turut memainkan peranan penting dalam memantau pemegang permit, memastikan pematuhan lokasi, serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan, termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek keselamatan dan kawalan trafik.
“Namun begitu, saya akui bahawa masih terdapat ramai penghibur jalanan yang beroperasi tanpa permit,” kata beliau.
Walaupun DBKL tidak mempunyai data spesifik mengenai jumlah mereka, kata Dr Zaliha, hasil pemantauan mendapati bahawa kebanyakan penghibur tanpa permit ini sering beroperasi di lokasi yang tidak dibenarkan seperti persimpangan jalan, kawasan lampu isyarat yang sibuk dan berbahaya, serta kawasan kediaman di pusat bandar.
MUNGKIN TIDAK MENGETAHUI
Sebahagian daripada mereka mungkin tidak mengetahui keperluan permit, manakala sebahagian lagi enggan mematuhinya kerana pelbagai faktor.
Jelasnya, bagi menangani isu ini secara lebih menyeluruh, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan mengadakan Sesi Temu Rapat bersama Penggiat Seni pada suku kedua tahun ini sebagai langkah awal sebelum merangka Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan.
“Dalam sesi ini, saya sendiri akan meminta agar buskers tanpa permit turut dijemput supaya mereka dapat menyuarakan cabaran yang dihadapi serta memberikan cadangan mengenai sokongan yang diperlukan daripada kerajaan,” tambah beliau.
Langkah-langkah yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memastikan bahawa seni jalanan bukan sahaja menjadi medium ekspresi kreatif, tetapi juga satu aset budaya yang berdaya saing.
Dengan usaha yang berterusan dan kerjasama semua pihak, kita ingin melihat Kuala Lumpur berkembang sebagai Kota Budaya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Dr Zaliha. – JM
