



Oleh: Sholina Osman
3 MAR 2025
Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) telah merancang untuk melaksanakan program-program berimpak tinggi.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, ini termasuk latihan kemahiran AI melibatkan semua lapisan masyarakat, libat urus di antara sektor Kerajaan dan swasta dan kerjasama strategik merentasi sektor.
Beliau berkata, program kerjasama dengan pihak Microsoft iaitu AI for Malaysia’s Future (AI-For-MY-Future), sebagai contoh, telah dilaksanakan bagi menyediakan platform kemahiran dan penghasilan bakat berkaitan AI.
“Program ini menyasarkan seramai 800,000 penyertaan dalam kalangan pekerja tempatan menerusi kerjasama rentas sektor,” kata Gobind Singh Deo di Dewan Negara hari ini.
PENERAPAN TEKNOLOGI AI
“Dalam merancakkan penerapan teknologi AI dalam sektor pertanian, ‘NAIO Lab’ telah diperkenalkan.
Dilancarkan pada 6 Februari 2025, ‘NAIO Lab’ merupakan inisiatif hasil kolaborasi bersama Global AI Village (GAIV).
AI “Rakan Tani” pula kata Gobind merupakan projek pertama dilancarkan di bawah inisiatif ini, bertujuan untuk membantu para petani meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan yang lebih tinggi.”
Tambah Gobind, ‘NAIO Lab’ menjangkakan lebih 450 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi AI dapat diwujudkan, sekaligus, memanfaatkan rakyat dalam
pelbagai bidang termasuk kesihatan, pertanian dan pengangkutan.
“NAIO juga telah merangka inisiatif-inisiatif ke hadapan seperti pembentukan Kluster-Kluster AI Sektor dan Kumpulan Kerja yang terdiri daripada pakar bidang
khusus,” katanya.
DALAM MENCARI PNYELESAIN
Beliau berkata, inisiatif ini memfokuskan kerjasama rentas sektor Kementerian dalam mencari penyelesaian dan cadangan yang sesuai supaya isu dan cabaran berkaitan AI dapat dikenalpasti, di samping, meningkatkan produktiviti negara dari segi persaingan global dan ekonomi digital.
“Pihak Kementerian melalui NAIO juga berpotensi mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.
Beliau berkata, bagi mewujudkan satu kolaborasi untuk bersama-sama menyelaras dan melaksanakan inisiatif adaptasi AI seperti yang difokuskan kepada penekanan Digitalisasi Kampus, Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Teknologi AI dan akses transformasi digital secara menyeluruh seiring dengan Pelan Pengajian Tinggi Malaysia 2025-2035.
Pada masa yang sama, katanya, pihak NAIO juga telah merancang untuk bekerjasama dengan TalentCorp untuk membantu tenaga kerja dari segi penyediaan kemahiran
AI mahupun pembangunan bakat AI. – JM
