






Petikan FB Saifuddin Nasution Ismail
8 MAC 2025
Hari ini saya turun ke lapangan bersama Polis, Pejabat Daerah, Kastam, dan Jabatan Alam Sekitar bagi meninjau lokasi yang terlibat dalam serbuan bersepadu
pada 14 Februari lalu.
Serbuan ini melibatkan 46 lokasi serentak di seluruh negara, kecuali Perlis dan Kuala Lumpur.
Di lokasi ini, pihak berkuasa menemui 40 tan peluru hidup serta kelongsong peluru terpakai dalam jumlah yang besar. Ini menimbulkan persoalan besar mengenai sumber dan tujuan kemasukan bahan ini ke dalam negara.
Siasatan mendapati:
✅ Premis ini beroperasi secara haram selama hampir dua tahun.
✅ Aktiviti pemprosesan ini melibatkan sumber sisa luar negara, yang melanggar undang-undang di bawah seliaan Jabatan Alam Sekitar.
✅ Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM3.9 bilion.
Saya telah menerima taklimat penuh daripada pihak berkuasa dan memaklumkan perkembangan ini kepada Perdana Menteri.
Maklumat risikan juga menunjukkan masih ada premis lain yang sedang beroperasi, dan kita akan terus menggempur rangkaian ini.
Tindakan tegas telah dan akan terus diambil:
🔹 Polis mengendalikan kes ini di bawah Akta Senjata Api.
🔹 Jabatan Alam Sekitar membuka sekurang-kurangnya 4 kertas pertuduhan.
🔹 Kastam dan pihak berkuasa lain sedang meneliti dokumen kargo dan laluan kemasukan ke negara ini.
Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan sindiket jenayah dalam operasi ini. Oleh itu, siasatan akan diteruskan secara menyeluruh oleh Polis, SPRM, Kastam, dan Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan tindakan susulan termasuk pendakwaan di mahkamah.
Terima kasih kepada semua agensi penguat kuasa yang terlibat dan juga kepada rakan-rakan media yang hadir untuk membuat liputan.
Kerajaan komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi. – JM
