
Oleh: Sholina Osman
8 MAC 2025
Coretan CikguMail Sp sebagai perkongsian di FB sangat menarik perhatian.
Atau nama sebenarnya Ismail Othman juga bukan orang biasa-biasa kerana sudah berpuluhan tahun “bergelumang” dalam dunia pendidikan.
Beliau yang kini memegang jawatan Pengarah Pendidikan Kedah pastinya sudah beberapa kali melalui perubahan portfolio Menteri Pendidikan di negara ini yang dilihatnya mempunyai rentak kepimpinan masing-masing yang tersendiri.
Dalam hantarannya status FB, beliau sifatkan Menteri Pendidikan kali ini iaitu Fadhlina Sidek, seorang wanita besi yang bukan sekadar meniti di persada politik, tetapi hadir sebagai arkitek perubahan, memperjuangkan martabat wanita dan mentamadunkan pendidikan negara.
SATU FIGURA HEBAT
“Dalam arus deras kepimpinan negara, terbit satu figura hebat yang tidak pernah lelah menongkah badai, itulah YB Fadhlina Sidek,” katanya.
Katanya, tidak salah jika memuji pemimpi yang bekerja dan berjuang.
Di bahunya terletak amanah besar, di dadanya tersemat tekad yang membara, dan di jiwanya tersimpul iltizam seorang pemimpin sejati.
Di pentas pendidikan, Fadhlina bukan sekadar pemimpin, tetapi juga pejuang yang memahami bahawa pendidikan adalah nadi sebuah tamadun.
BUKAN SEKADAR RETORIK
Reformasi yang dibawanya bukan sekadar retorik, tetapi sebuah perjalanan panjang yang menuntut kesabaran dan keberanian.
Dalam setiap polisi yang diketengahkan, terpahat keprihatinan terhadap murid-murid marhaen, guru-guru yang setia berkorban, serta institusi pendidikan yang menjadi gedung ilmu buat generasi mendatang.
Fadhlina menolak sistem yang menekan, menyingkap tabir kejumudan, dan membuka ruang kepada pendidikan yang lebih inklusif dan holistik.
SEKADAR MENGISI AKAL
Dalam riuh-rendah suara sumbang yang mempertikai perubahan, beliau tetap utuh di medan perjuangan, kerana baginya, mendidik bukan sekadar mengisi akal, tetapi membentuk jiwa dan mengangkat martabat insan.
Sepanjang sejarah dunia ada juga, wanita sering dipinggirkan daripada kerusi kekuasaan, seolah-olah kepimpinan itu hak eksklusif lelaki.
Namun, Fadhlina hadir memecah tembok kejumudan ini, membuktikan bahawa wanita bukan sekadar penghias persada politik, tetapi adalah enjin penggerak perubahan.
Wanita yang memahami denyut nadi rakyat adalah wanita yang mampu mencorak dasar yang penuh hikmah.
DENGAN KETAJAMAN FIKIRAN
Bukan dengan emosi kosong, tetapi dengan ketajaman fikiran dan kebijaksanaan menimbang keperluan rakyat.
Dalam hembusan patriarki yang masih membelenggu minda sesetengah pihak, Fadhlina berdiri teguh, membuktikan bahawa wanita boleh dan wanita mampu.
Namun, dalam setiap perjuangan, pasti ada duri yang cuba mencucuk, pasti ada suara sumbang yang cuba meruntuhkan semangat.
Mereka yang tidak memahami, akan melihat perubahan sebagai ancaman. Mereka yang gagal bertindak, akan mengutuk usaha yang sedang giat dilaksanakan.
TIDAK AKAN TERHENTI
Tetapi seorang pejuang tidak akan terhenti hanya kerana suara suara picisan.
Sejarah telah membuktikan bahawa setiap reformis pernah dicerca sebelum disanjung, pernah dihina sebelum dihormati.
Dan Fadhlina adalah antara mereka yang meletakkan kepentingan ummah melebihi segala celaan yang dilemparkan.
Perjuangan YB Fadhlina Sidek bukan sekadar meniti gelombang politik, tetapi adalah satu warisan yang bakal dikenang.
HADIR MEMBAWA PERUBAHAN
Wanita ini tidak datang untuk mencari kemasyhuran, tetapi hadir membawa perubahan.
Dalam denyut langkahnya, terpalit harapan berjuta anak bangsa.
Dalam tutur katanya, tersirat wawasan sebuah negara maju.
Kepada mereka yang masih meragui, lihatlah sejarah.
BACALAH TINTA PERJUANGAN
Kepada mereka yang masih mencerca, bacalah tinta perjuangan.
Dan kepada mereka yang masih mencari cahaya kepimpinan wanita sejati, pandanglah ke arah Fadhlina Sidek, kerana di situ terlukis kisah seorang wanita yang tidak pernah gentar berjuang.
Ini bukan sekadar kisah seorang pemimpin, tetapi ini adalah legasi sebuah perjuangan.
Ternyata perkongsian CikguMail Sp, Pena 6 Ramadan, 9.15 am, desa kedamaian Charok Tala mengenai Fadlina Sidek tepat dan benar. – JM
