PMX tinjau projek perkhidmatan dron pertanian di Kampung Tebuk Haji Dollah

Oleh: Sholina Osman
16 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau projek perkhidmatan dron pertanian meracun di Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, Bagan Serai, Perak.

Anwar diberi penerangan mengenai projek yang telah dilaksanakan sejak September lalu sebelum melihat dron tersebut diterbangkan dan menyembur racun di petak sawah.

Program yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tebuk Haji Dollah itu memperkenalkan perkhidmatan penggunaan dron bagi meracun dan membaja sawah padi.

BERJAYA MENJIMATKAN MASA

Teknologi itu berjaya menjimatkan masa petani kepada hanya 15 minit berbanding 90 minit sebelum ini.

Sementara itu dalam perkongsian di FB, Anwar berkata keberanian komuniti Kampung Tebuk Haji Dollah dalam menerapkan penggunaan teknologi membuktikan bahawa inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam memastikan daya saing sektor pertanian terus mekar.

Inisiatif ini katanya bukan sahaja membawa pembaharuan dalam kaedah pertanian, malah memberi dampak besar terhadap produktiviti dan kesejahteraan komuniti setempat.

PENERAPAN TEKNOLOGI DRON

Tambahnya, penggunaan dan penerapan teknologi dron dalam sektor pertanian telah terbukti keberkesanannya dalam mempercepat proses pembajaan dan kawalan perosak di sawah padi.

Dengan kecekapan yang lebih tinggi, katanya teknologi ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga kerja, malah mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.

Hasilnya kata Perdana Menteri, petani dapat menikmati peningkatan hasil tuaian yang lebih baik, sekali gus memperkukuhkan ekonomi pedesaan.

“Teknologi ini lantas menjadi antara bentuk transformasi yang kita dambakan iaitu kemahiran pertanian yang moden, efektif, dan mampan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *