







Oleh: Sholina Osman
27 MAC 2025
Tahniah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di atas kejayaan melakukan rampasan terbesar dadah jenis methamphetamine dianggar seberat 363 kilogram bernilai RM11.6 juta.
Pengarahnya, Ismail Hashim semasa sidang media menjelaskan kejayaan ini merupakan usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik (networking strategy) di antara Unit, Cawangan dan Bahagian di JKDM Perlis.
“Pada 24 Mac 2025, lebih kurang pukul 3 pagi, semasa melakukan rondaan laut, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah mengesan sebuah sampan fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak laju dari kawasan perairan Thailand ke kawasan perairan Kuala Perlis menuju ke Sungai Baru,” katanya.
Beliau berkata, pasukan berkenaan telah memintas sampan tersebut dan mengarahkan supaya berhenti.
TERUS MEMECUT LAJU
Bagaimanapun katanya arahan tersebut tidak diendahkan sebaliknya sampan tersebut terus memecut laju ke arah perairan cetek.
“Pasukan berkenaan kemudiannya menemui sampan tersebut yang telah ditinggalkan di kawasan perairan Sungai Siput, Kuala Perlis pada kedudukan garis lintang 6º23’22.4″N, garis bujur 100°07’55.0°E,” katanya.
Ismail berkata, dipercayai terdapat jurumudi serta beberapa orang lain di dalam bot tersebut telah melarikan diri ke daratan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas sampan tersebut telah menemui 18 guni putih dan satu guni hijau yang mengandungi bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine.
BUNGKUSAN DISYAKI DADAH
“Berat keseluruhan kesemua bungkusan disyaki dadah jenis Methamphetamine tersebut dianggarkan sebanyak 363 kilogram dan bernilai RM11,616,000.00 dan turut disita adalah sebuah sampan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM85,000.00,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
JKDM juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – JM
