Malaysia sedia hulur bantuan kepada Myanmar dan Thailand – PMX

Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2025

Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan menyokong usaha kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan keprihatinan Malaysia dengan kejadian gempa bumi ini sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok dan kawasan berdekatan.

“Dalam masa kesedihan ini, semoga pemulihan cepat, dan semoga kekuatan ikatan serantau kita membawa harapan dan penyembuhan,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap, dan korban yang semakin meningkat amat mendukacitakan.

MEMANTAU DENGAN TELITI

“Kami juga memantau dengan teliti perkembangan di selatan Yunnan China, di mana gegaran telah dirasai dan kerosakan struktur dilaporkan,” katanya.

Bagi pihak Malaysia, beliau mengucapkan takziah kepada semua yang kehilangan orang tersayang, dan doa kepada mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal.

Malaysia berdiri dalam solidariti yang tidak berbelah bagi sebagai negara jiran dan negara-negara anggota ASEAN.

MENGIKTIRAF KEADAAN DARURAT

“Kami mengiktiraf keadaan darurat yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa di Myanmar, dan penetapan Bangkok sebagai kawasan yang dilanda bencana oleh kerajaan Thailand,” katanya.

Pada kejadian ini, gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar jam 1 tengah hari (waktu tempatan) 28 Mac, dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.

Gempa kedua dengan magnitud 6.4 menyusul tidak lama selepas itu.

Gegaran susulan daripada kedua-dua gempa ini turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *