







Oleh: Sholina Osman
30 MAC 2025
Sebanyak 64,404 premis telah diperiksa di seluruh negara menerusi OPS PANTAU bagi tempoh 2 hingga 26 Mac 2025.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 369 kes telah berjaya direkodkan.
“Johor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 62 kes, diikuti oleh Selangor (49 kes) dan Perak (48 kes),” katanya dalam kenyataan media.
Azman berkata, kes-kes yang direkodkan adalah di bawah peruntukan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
DENGAN NILAI RAMPASAN
Katanya, sepanjang 25 hari pelaksanaan OPS PANTAU 2025 itu, sebanyak 348 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52.
Beliau berkata, kes tertinggi yang direkodkan melibatkan kesalahan penandaan harga bagi barangan dan caj perkhidmatan, penandaan harga bagi barangan harga terkawal, serta penggunaan alat timbangan dan sukat yang tamat tempoh atau tidak ditentusahkan.
Azman berkata, pihaknya juga telah menerima 1,451 aduan daripada orang awam sehingga 26 Mac 2025.
“Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 402 aduan, diikuti oleh Kuala Lumpur (281 aduan) dan Johor (122 aduan),” katanya.
Beliau berkata, kategori aduan tertinggi yang diterima melibatkan isu harga (905 aduan), diikuti oleh aduan berkaitan bekalan (257), jualan murah (156), barangan tiruan (78), alat timbang dan sukat (37) serta perihal halal (18),” katanya. – JM
