


Oleh: Sholina Osman
1 APRIL 2025
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 305 mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor telah berjaya diselamatkan.
Beliau melahirkan kesyukuran kerana setakat pukul 5 petang ini dilaporkan tiada kematian yang dicatatkan dalam insiden ini.
“Mangsa masing-masing ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta Hospital Subang Jaya Medical Centre, Sunway Medical Centre, Hospital Serdang, dan Hospital Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di FB.
Terdahulu beliau tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian pada pukul 4:20 petang tadi dan bertemu dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan, serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad.
TELAH BERJAYA DIPADAM
“Susulan daripada insiden kebakaran di Putra Heights pagi tadi, letusan pada pukul 8:10 pagi telah berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3:45 petang,” katanya.
“Keutamaan pada masa sekarang adalah keselamatan para penduduk,” katanya.
Amirudin berkata, dua kawasan perumahan seluas radius 290m akan ditutup dan dikategorikan sebagai kawasan larangan sehingga ia dipastikan selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali ke rumah mereka.
Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan para penduduk. – JM
