




Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita )
2 APRIL 2025
Tanpa menunggu lama selepas berlakunya tragedi kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Putra Heights semalam, Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim segera bergegas melawat tempat kejadian pada sebelah petangnya.
Selain melawat lokasi kebakaran, PMX juga pergi ke pusat operasi untuk mendengar taklimat daripada pihak berkuasa berkaitan kejadian malang tersebut disaat umat Islam sedang meraikan Aidilfitri tahun ini.
PMX hadir untuk melihat sendiri tempat berlakunya kebakaran, di samping sebagai tanda tanggungjawab selaku ketua kerajaan atas tragedi yang tidak disangka-sangka itu.
KEHADIRAN PMX DAPAT MELEGAKAN MANGSA
Selepas melakukan lawatan, Anwar lantas mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran saluran paip gas tersebut.
Bantuan sebanyak RM2,500 pula diberikan lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya mengalami kerosakan.
Anwar juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk membaiki rumah-rumah yang terlibat akibat kebakaran.
Katanya, tanggungjawab itu akan dipikul kerajaan pusat bersama Petronas dan kerajaan negeri Selangor.
Kerajaan juga, tambahnya akan berbincang mengenai langkah-langkah sesuai berkaitan penempatan mangsa sebelum mereka dapat kembali ke kediaman masing-masing yang dijangka akan mengambil masa setahun untuk proses pemulihan sepenuhnya kediaman mereka.
Kehadiran Anwar yang tidak menunggu lama selepas berlakunya tragedi serta mengumumkan langkah-langkah bantuan sudah tentu dapat melegakan mangsa-mangsa yang terlibat.
Hakikat ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan serta sikap bertanggungjawab atas kejadian yang menimpa.
Seperti yang diakui oleh PMX dalam laman sosialnya – Beliau dan isterinya iaitu Datok Seri Wan Azizah Wan Ismail amat terkesan kemusnahan akibat kebakaran luar biasa di Putra Height.
“Saya dan Azizah amat terkesan tatkala melihat sendiri kesan kemusnahan yang berlaku akibat kebakaran luar biasa di Putra Heights.
Kami zahir simpati buat mangsa-mangsa yang cedera dan hilang tempat tinggal kesan tragedi ini.
“Penghargaan tertinggi buat pasukan bomba, polis dan pihak berkuasa tempatan yang telah bertindak sepantas mungkin untuk memadam kebakaran serta memastikan penduduk dipindahkan dari lokasi kejadian,ββ katanya.
Menurut Anwar, keutamaan tertinggi Kerajaan MADANI saat ini adalah memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights serta yang dirawat di beberapa hospital.
Seluruh jentera Kerajaan akan dikerahkan untuk mengambil tindakan sesegera mungkin.
Keutamaan adalah memastikan mangsa mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa sementara proses pemulihan dijalankan.
“Penghargaan juga buat Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang menawarkan bantuan buat mangsa tragedi ini.
Semangat kebersamaan begini menjadi kekuatan kita di saat sukar ini.
Pada masa sama, Azizah telah berkunjung ke Hospital Serdang petang tadi untuk menziarahi beberapa mangsa kebakaran yang sedang menerima rawatan di sana.
Saya dan Azizah mendoakan semua mangsa diberikan kesembuhan sesegera mungkin, Insya-Allahββ ujar PMX lagi.
305 MANGSA TERLIBAT
Sementara itu secara keseluruhan, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah bangunan yang terjejas adalah 237 serta 305 mangsa terlibat, dengan majoritinya cedera akibat melecur dan tersedut haba panas.
Daripada jumlah 237 itu, 88 daripada dikategorikan sebagai musnah iaitu merangkumi 78 rumah kediaman dan 10 unit rumah kedai.
Nor Hisham menambah, sebanyak 365 kenderaan terjejas dalam kebakaran itu membabitkan 275 kereta dan 56 motosikal manakala 33 lagi mengalami kerosakan.
Semoga semua mangsa serta para waris yang terlibat dengan kejadian malang ini terus tabah menghadapi dugaan dan dipermudahkan segala urusan. Mereka tidak bersendirian kerana pastinya seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan semua yang terlibat dalam musibah ini. Amin.
βββββββββββββββββββ-
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
