






Oleh: Sholina Osman
8 APRIL 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah dengan
pembukaan kilang pembuatan semikonduktor Jabil di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), di Padang Besar dijangka akan melonjak pelaburan ekonomi negeri ini.
Baginda bertitah, kilang yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ini menjadi lambang pencapaian kepada Perlis sebagai pelaburan asing pertama menempatkan diri di negeri itu.
“Pengoperasian Jabil nanti pastinya akan membuka peluang lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa terutama dalam meletakkan Perlis sebagai hab industri pembuatan,” titah Baginda ketika merasmikan Kilang Pembuatan Semi Konduktor Jabil di CVIA, Padang Besar, semalam.
Berkenan berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Naib Presiden Eksekutif Operasi Jabil, Frederic McCoy dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.
PERMULAAN LEMBARAN BAHARU
Raja Perlis bertitah, majlis ini bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti baharu, namun ia permulaan lembaran baharu dalam pertumbuhan ekonomi negeri Perlis.
“Sebagai pelabur pertama, Jabil membuka jalan kepada lebih banyak pelaburan dan peluang di hab industri yang sedang pesat membangun ini,” titah Baginda.
Titah Baginda, perjalanan menuju saat bersejarah ini sudah bermula sejak 2018 apabila kerajaan negeri meluluskan tanah untuk pembangunan.
“Kertas dasar dirangka penuh visi dan perancangan strategik oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri menjadi asas kepada projek transformasi ini,” titah Baginda.
Tambah Baginda, Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri serta Kerajaan Persekutuan melalui NCIA memantau dengan rapi kemajuan projek ini, bagi memastikan ia memenuhi piawaian tertinggi serta menyumbang pertumbuhan ekonomi negeri Perlis.
Kilang Jabil di Chuping adalah cawangan terbaharu dibuka di Perlis selain Batu Kawan, dua kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang, serta Sungai Petani dan Kulim di Kedah. – JM
