Lebih 10,000 warga Perlis dari pelbagai kaum memeriahkan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri

28 APRIL 2025

Lebih 10,000 warga Perlis dari pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terima kasih atas sambutan luar biasa dan penuh semangat kekeluargaan,” kata Anwar.

Perlis menjadi negeri terakhir dalam rangka kunjungan Ramadan dan Syawal Perdana Menteri pada tahun ini.

Tujuannya bagi memperkukuh iltizam bersama untuk memberi sepenuh perhatian kepada keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

MENGUCAPKAN SETINGGI PENGHARGAAN

Perdana Menteri dalam hantaran di FB mengucapkan setinggi penghargaan di atas keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, mencemar duli ke majlis ini.

Sewaktu berucap, beliau melahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mempererat sinergi bersama Kerajaan Negeri bagi memperkasa agenda pembangunan, memperkukuh kesejahteraan sosial serta mempertingkatkan daya saing ekonomi setempat.

“Saya menegaskan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, tiada mana-mana negeri dianaktirikan dalam agenda pembangunan ekonomi hanya kerana perbezaan siasah,” katanya.

Jelasnya, ini termasuk Perlis, yang menyaksikan peningkatan ketara pemberian langsung Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yakni sekitar 25 peratus, daripada RM168.4 juta pada 2022 kepada RM210.6 juta pada tahun lalu.

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN NEGERI

Katanya, peruntukan pembangunan negeri turut meningkat sehingga 65 peratus daripada RM391.91 juta pada 2022 kepada RM645.58 juta tahun lalu.

Menyentuh perkembangan geopolitik semasa, khususnya terkait tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, beliau memaklumkan mengenai Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei depan.

Ia bagi membicarakan tindakan-tindakan Kerajaan dalam mendepani isu ini, di samping menghimpunkan seluruh kekuatan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Insya-Allah, dengan iltizam yang teguh dan penuh keyakinan, kita akan membawa Perlis dan seluruh negara ke arah masa depan yang lebih sejahtera dan makmur,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *