Nurul Izzah layak calon Timbalan Presiden untuk penuhi keperluan parti gabung tenaga baru, lama

Oleh: Sholina Osman
6 MEI 2025

Parti memerlukan gabungan tenaga baru dan lama, idealisme anak muda dan kebijaksanaan pengalaman maka Nurul Izzah membawa kombinasi ini dengan penuh wibawa.

Sehubungan itu Naib Ketua AMK Negeri Johor Ketua Cabang Pulai, Muhanmad Faezuddin Mohd Puad menyambut baik cadangan meletakkan Nurul Izzah Anwar sebagai Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2025.

“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam perjuangan reformasi tanah air di mana sejak tahun 1998, beliau telah menjadi antara suara paling awal dan lantang dalam gerakan Reformasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MEMBINA KARIER POLITIKNYA

Beliau berkata, Nurul Izzah bukan sekadar sebagai anak kepada tokoh reformasi, tetapi sebagai pejuang yang membina karier politiknya dengan kerja keras, prinsip yang jelas, dan rekod perkhidmatan yang konsisten dalam parti dan juga sebagai ahli parlimen .

“Wanita hebat ini telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang prihatin, berintegriti dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Jelas Muhanmad Faezuddin, Nurul Izzah juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, serta mengetuai pelbagai portfolio strategik dalam parti dan kerajaan.

SEBAGAI LANGKAH TEPAT

“Cadangan ini dilihat sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kepimpinan parti — bukan sahaja dari segi pengalaman dan kelayakan politik, tetapi juga dari segi keterangkuman gender,” katanya.

Beliau menambah, Keadilan sentiasa memperjuangkan untuk memperkasa wanita, dan pencalonan seorang tokoh wanita berkaliber seperti Nurul Izzah adalah sejajar dengan semangat ini.

“Selain Datuk Seri Rafizi Ramli yang merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden dan kemungkinan penyertaan Datuk Seri Saifuddin Nasution, kehadiran Nurul Izzah dalam pertandingan ini akan menambah kemeriahan pesta demokrasi dalam parti,” katanya.

Beliau berkata inilah wajah Keadilan — parti yang meraikan perbezaan pandangan, memberi ruang kepada pertandingan sihat dan menjunjung tinggi semangat demokrasi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *