
Oleh: Sholina Osman
6 MEI 2025
Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan KEADILAN sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.
Dalam dunia politik yang dinamik, pemimpin seperti ini yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.
Nurul Izzah diyakini mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut di mana beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam KEADILAN, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif
KAMI BERDIRI TEGUH
“Dengan ini, kami berdiri teguh menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028,”
Inilah pendirian Ketua Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang Keadilan Alor Gajah Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang Keadilan Tangga Batu,
Azlan Osman; Ketua Cabang Keadilan Jasin R. Jagatheason dan Ketua Cabang Keadilan Kota Melaka, Md Yusoff Ahmad dalam kenyataan media secara bersama hari ini.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai menandakan sokongan terbuka Cabang-Cabang KEADILAN Melaka ini terhadap Nurul Izzah.
Parti Keadilan Rakyat telah melalui sebuah perjalanan panjang yang penuh ranjau dan pengorbanan sejak penubuhannya.
LEBIH DUA DEKAD
Gerakan reformasi yang digerakkan lebih dua dekad lalu bukan sahaja berjaya merubah landskap politik tanah air, tetapi turut melahirkan satu generasi pemimpin dan pendukung yang setia, berprinsip dan komited untuk meneruskan perjuangan demi keadilan dan demokrasi.
Kini, dalam menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan kompleks, KEADILAN perlu terus memperkukuh barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan, tetapi juga mampu membawa nilai reformasi ke hadapan, memacu agenda perubahan dan menterjemah aspirasi rakyat dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, kami dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap amanah perjuangan, menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028.
BUKANLAH NAMA ASING
Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan KEADILAN.
Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.
Pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal, dan aktivis masyarakat sehingga baru baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti. – JM
