Belia rakan strategik utama dalam merangka dasar dan hala tuju negara – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
17 MEI 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, golongan belia sebenarnya adalah rakan strategik yang utama dalam merangka dasar dan hala tuju negara.

Sehubungan itu katanya, anak muda perlu dibawa keluar daripada kerangka lama iaitu bertindak hanya sekadar pasukan simpanan arus pembangunan.

Dr Zaliha berkata, ia bertepatan dengan tema Hari Belia 2025 ‘Yakin Boleh’ yang menuntut keberanian, kebijaksanaan dan kejujuran warga belia untuk terus mara ke hadapan meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran zaman.

MASA DEPAN NEGARA

“Tema ini juga mencerminkan keyakinan bahawa masa depan negara terbina di tangan generasi muda yang berprinsip dan berwawasan,” katanya dalam hantaran di FB.

Dr Zaliha telah menyempurnakan Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kuala Lumpur di MATIC, Jalan Ampang.

“Di Wilayah Persekutuan ini, kita telah membina struktur di mana anak muda itu boleh menyuarakan pandangan mereka dalam proses pembuatan dasar,” katanya.

Beliau percaya anak muda tidak menuntut tempat untuk bersandar, tetapi tempat untuk menyumbang.

MELANGKAH KE HADAPAN

“Saya menyeru semua anak muda untuk terus melangkah ke hadapan, bukan hanya sebagai pemerhati semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, belia dinasihatkan jangan tunggu diberi peluang, sebaliknya carilah peluang dan buktikan keupayaan.

Dr Zaliha berkata, negara ini menanti sentuhan tangan anak muda demi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang dan sejahtera.

MENDENGAR DAN MENERIMA

Malah katanya, di peringkat Wilayah Persekutuan, beliau sentiasa bersedia untuk mendengar dan menerima sebarang cadangan, pandangan dan kritikan membina dari belia, tetapi dalam masa yang sama, para belia juga perlu sentiasa berada dalam ketersediaan yang tinggi, bersikap lebih matang dan bukan hanya semata-mata bersifat kritikal, malah lebih konstruktif.

Beliau berkata, dengan semangat MADANI dan dengan kerjasama erat di antara Kerajaan dan belia, saya yakin Wilayah Persekutuan ini boleh menjadi model keterangkuman yang terbaik dalam negara yang tercinta ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *