



Oleh: Sholina Osman
18 MEI 2025
Pengumuman enam inisiatif berita sempena sambutan Hari Guru Ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching adalah Hadiah Hari Guru terbaik daripada Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu dalam ucapan aluannya sempena sambutan berkenaan.
Sudah pasti hadiah ini memberi motivasi kepada guru khasnya serta dunia pendidikan negara.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin antara enam berita gembira ini iaitu permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat adalah ditunggu selama ini oleh para guru.
“Isu ini yang sekian lama membelenggu kalangan guru ini akhirnya “dipermudahkan” oleh KPM yang pastinya disambut dengan penuh kesyukuran dan air mata gembira,” katanya.
MAMPU MEMBANGKITKAN SEMANGAT
Noraini percaya, segala isu yang berkaitan pertukaran kini “selesai” sekaligus mampu membangkitkan semangat bagi para guru untuk lebih komited mendidik anak bangsa.
“Penyediaan 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru terbabit diyakini dapat mengurangkan beban tugas guru selama ini,” katanya.
Jelas Noraini, sekaligus guru boleh memberi fokus kepada meningkatkan kualiti pengajaran.
“Hendak menjadi lebih hebat maka perlu keluar dari kepompong supaya pengalaman itu nanti dapat dikembangkan,” katanya.
KALANGAN PENERIMA ANUGERAH
Sehubungan itu katanya, inisiatif ketiga apabila 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan bakal melalui pengalaman bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah
Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
Bukan itu saja katanya, dengan inisiatif keempat, guru dan pegawai terpilih akan dihantar untuk mengikuti program kursus jangka pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.
“Pengumuman terbaik, pastinya sudah lama para guru mengidamkan peluang ini demi menambah kualiti pendidikan menerusi pendedahan di luar negara,” kata Noraini.
PEMBELIAN TIKET PENERBANGAN
Tambah Noraini dengan diskaun 20 peratus diberi bagi pembelian tiket penerbangan kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM sebagai insentif ke lima ini memberi peluang untuk guru untuk bergerak ke destinasi pilihan.
“Pemberian diskaun buku antara 20 hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM yang merupakan inisiatif keenam amat diperlukan bagi seorang tenaga pengajar,” kata Noraini.
Beliau yakin enam inisiatif sangat bernilai kepada semua guru di seluruh negara yang pastinya tidak pernah menjangka akan menerimanya di zaman kerajaan MADANI.
Jasa guru sangat dihargai kerana dari didikan merekalah lahirnya barisan kerajaan MADANI bagi memimpin negara. – JM
