Malaysia, Singapura, Vietnam cipta sejarah tandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama – PMX

26 MEI 2025

Malaysia, Singapura dan Vietnam hari ini mencipta sejarah dengan menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama untuk meneroka potensi eksport tenaga elektrik boleh diperbaharui dari sumber tenaga angin luar pesisir antara ketiga-tiga negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, beliau bersama rakan sejawat dari Singapura dan Vietnam telah menyaksikan pertukaran perjanjian penting ini yang melibatkan MY Energy Consortium dari Malaysia (gabungan TNB dan PETRONAS), PTSC dari Vietnam (anak syarikat Petrovietnam), serta Sembcorp Utilities dari Singapura.

“Projek ini memberi tumpuan kepada pemanfaatan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam bagi menjana elektrik bersih yang akan disalurkan merentasi sempadan melalui kabel dasar laut yang dicadangkan, dan disambungkan ke grid nasional di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, inisiatif ini sejajar dengan visi Grid Kuasa ASEAN dan menyokong agenda nyahkarbon serantau, bertujuan menyediakan bekalan elektrik yang stabil, rendah karbon, serta memperkukuh kerjasama tenaga serantau dan membangunkan model perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan yang berskala.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, katanya Malaysia komited untuk terus memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh integrasi serantau, dan membina masa depan rendah karbon untuk seluruh rantau ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *