
Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
2 JUN 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menegaskan penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
Seri Paduka Baginda, bertitah pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan dibuat adalah mengikut syarat serta peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.
“Setiap perbelanjaan juga mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh Menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi sehingga menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar.
“Saya menyeru kepada penjawat awam berikanlah saya perkhidmatan cemerlang sebagai ‘hadiah’. Amalkan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Kesetiaan bukan maksud menyembah tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas serta tanggungjawab yang diberikan serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Bagi Tahun 2025 di Istana Negara, pada hari ini (2 Jun).
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda, bertitah semua agensi penguatkuasa mesti berani dan menjalankan tugas dengan penuh integriti.
“Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan tidak hormat kepada uniform (pakaian seragam) yang dipakai,” titah Seri Paduka Baginda. – JM
