Kadar insentif pembajakan dinaikkan kepada RM160 per hektar per musim

Oleh: Sholina Osman
28 JUN 2025

Kerajaan telah bersetuju dengan pelarasan kadar insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.

Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata insentif baharu untuk penuaian pula akan diberikan pada kadar RM50 per hektar per musim kepada pesawah.

“Kerajaan akan memastikan pembayaran insentif ini selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan media hari ini (28 Jun).

Terdahulu beliau hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 1Tahun 2025 yang bersidang pada 16 Jun 2025 telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MEMPERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN

Mohamad berkata mesyuarat ini memfokuskan kepada inisiatif strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara serta merancakkan pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan.

“Pelbagai inisiatif lain turut dibincangkan termasuklah strategi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu/kerbau negara demi kemampanan bekalan makanan negara,” katanya.

Selain itu katanya kerajaan juga menyambut baik pembangunan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.

“Kerajaan juga telah bersetuju secara prinsip dalam meneroka strategi berkesan bagi mengurangkan kebergantungan import jagung bijian demi kelangsungan dan pertumbuhan industri,” katanya.

AKTA PERLINDUNGAN VARIETI

Selain itu, kata beliau cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004
(Akta 634) akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu.

Beliau berkata, perancangan dasar akan terus diperkasakan menerusi hasil dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian.

Dalam usaha memodenkan sektor pertanian katanya kerjasama strategik antara KPKM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) diperkukuhkan menerusi pengenalan silibus baharu Remote Pilot Certificate Of Competency – Agriculture Light (RCoC-AL) untuk pengendali persendirian dron / Unmanned Aircraft System (UAS).

“KPKM komited untuk terus melakar dasar dan inisiatif yang progresif demi masa depan pertanian dan keterjaminan makanan yang lebih lestari di Malaysia,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *