Seorang pengguna TikTok disiasat muat naik kandungan jelik terhadap PMX – MCMC

Oleh: Sholina Osman
22 JULAI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik melampau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berhubung pesta tidak bermoral di dalam negara serta kenyataan rasmi
Perdana Menteri mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.

Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan bersifat palsu dan jelik melampau berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.

Bagi membantu siasatan, MCMC telah merakam keterangan individu terbabit di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin, 21 Julai 2025.

SATU UNIT TELEFON

Turut disita, satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk penyebaran kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas, serta akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *