




Oleh Wartawan JM
26 Julai 2025
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim mempamerkan sifat pemimpin budiman dan pekerti yang mulia terhadap semua yang terlibat dalam himpunan ‘Turun Anwar’.
PMX bukan sahaja merakamkan ucapan
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan tetapi juga turut mendoakan semoga peserta selamat pulang serta dipermudahkan segala urusan.
Ucapan terima kasih PMX ditujukan khas kepada pihak polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan ‘Turun Anwar” yang berlangsung hari ini.
” Kepada saudara saudari yang hadir— sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh— saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing. Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” ujar Anwar dalam laman sosial (FB) beliau hari ini.
Justeru, menurut beliau, sebagai Perdana Menteri, akan terus kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.
KRITIKAN DAN BERBEZA PANDANGAN
Kata beliau, kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.
” Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air.
” Prinsip yang sama telah kami semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (Prime Minister’s Question Time, PMQT) di Parlimen di mana Ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada saya selaku Perdana Menteri secara terus. Mohon kalian terus desak Ahli-ahli Parlimen untuk terus hadir dan aktif mengambil bahagian di semua sesi, terutamanya sesi PMQT, ” jelas beliau lagi.
MENGUNDANG UNTUK TERUS BERDAILOG
PMX juga turut mengundang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara ini bersama, tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga.
” Dan andai kalian berkesempatan lagi di masa hadapan, jangan lupa untuk kembali ke Kuala Lumpur. Mercu-mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, kini sedang dalam rencana pemuliharaan secara besar-besaran agar kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional, terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak dan pelbagai aktiviti menarik menanti, Insya-Allah, ” katanya – JM
