MAIPs perkukuh kerjasama kemanusiaan global dengan Kenya Red Cross Society

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
30 JULAI 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meneruskan komitmen memperkukuhkan kerjasama kemanusiaan global menerusi sesi perkongsian bersama Kenya Red Cross Society (KRCS) yang diadakan di Nairobi baru-baru ini.

Delegasi diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Setiausaha Agung KRCS, Dr. Ahmed Idris serta Ketua Delegasi Serantau IFRC bagi Kenya dan Somalia, Azmat Ulla.

Turut hadir ialah Pengarah Kewangan Islam KRCS, Jamal Hassan.

Hadir mengiringi Baginda adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

MENJADI SUMBER INSPIRASI

Dalam sesi tersebut, KRCS menyatakan bahawa pendekatan MAIPs yang konsisten dalam memperkasakan Strategi Filantropi Islam telah menjadi sumber inspirasi kepada penubuhan unit khas Kewangan Islam di bawah Kenya Red Cross

“Satu langkah signifikan ke arah kebajikan berasaskan nilai Islam di benua Afrika telah diwujudkan oleh KRCS hasil cetusan yang dimulakan MAIPs yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis,” jelas Dr. Ahmed Idris.

Dr Mohd Asri dalam sesi perkongsian beliau menekankan bahawa, Islam amat menitikberatkan soal keberkatan dalam setiap yang dilaksanakan, dan salah satu daripada hasil keberkatan adalah apabila sesuatu yang dilakukan itu memberikan impak besar dengan izin Allah.

PELAKSANAAN INISIATIF KEMANUSIAAN

Penghargaan turut diberikan kepada MAIPs atas pelaksanaan inisiatif kemanusiaan dalam Program ‘Kenya Drought 2018’ yang telah memberi impak nyata kepada komuniti rentan yang memberi kesan langsung dalam sektor bekalan air, pertanian dan keselamatan makanan.

Dalam pada itu, KRCS turut menjelaskan bahawa lebih 80 peratus kawasan di Kenya masih bergelut dengan isu bekalan air bersih, manakala 2.5 juta penduduk kini terjejas akibat kebuluran bahkan angka tersebut meningkat kepada 5 juta setiap kali berlakunya kemarau dua tahun sekali.

Jelas Ahmed Idris, di kawasan pelarian seperti Dadaab yang menempatkan pelarian Somalia sejak 1990, IFRC dan KRCS turut mengoperasikan hospital lapangan bagi menampung keperluan perubatan mendesak.

KRCS berharap agar kerjasama bersama MAIPs akan dapat diperkukuhkan melalui pelbagai pendekatan strategik seperti khidmat nasihat, perkongsian kepakaran dan pengurusan dana amanah yang berstrategi agar impak sosial dapat dipertingkatkan dalam kalangan komuniti yang memerlukan bantuan dan pembelaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *