




Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 JULAI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan acara pertama di Jakarta hari ini (30 Julai) dengan membawa amanah rakyat Malaysia dan semangat serumpun yang mendalam bagi menghadiri majlis Perundingan Tahunan Ke-13.
Beliau disambut Presiden Republik Indonesia Bapak Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta.
“Dalam suasana dunia yang semakin rencam hari ini, kami berkeyakinan bahawa kekuatan rantau ini harus diperkukuh melalui muafakat strategik yang teguh, berani dan berwawasan,” katanya dalam hantaran di FB.
BANYAK ISU PENTING
Beliau berkata, banyak isu penting yang disentuh melibatkan sasaran perdagangan USD30 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), akses lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong, serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama.
Anwar berkata, kesemua isu ini dilakar dengan niat bagi mempercepat manfaat kepada rakyat yang hidup di garis sempadan, tidak hanya sekadar angka atas kertas.
Beliau juga turut menekankan bahawa pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berpaksi pada semangat tulen memperkukuh kesejahteraan rantau,” kata beliau.
RAKAN YANG JUJUR
“Kita berhasrat untuk menjadi rakan yang jujur dan amanah dalam pembangunan, dari soal tenaga boleh baharu, infrastruktur, perumahan hingga ke soal pendidikan dan teknologi,” ujar beliau.
Dalam soal keselamatan, kata beliau Malaysia-Indonesia bersetuju untuk memperhebat kerjasama melalui kerangka Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Perdana Menteri turut tegaskan bahawa keutamaan Malaysia tetap kekal pada keselamatan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Kita seharusnya tidak boleh alpa dan lalai, apatah lagi menyerahkan nasib rantau ini ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian
SEJUMLAH ISU GLOBAL
Kami juga menyentuh keperluan dalam menyatukan suara dalam sejumlah isu global seperti kempen anti-sawit dan pembantaian di Gaza,” tambah beliau.
Anwar menambah dunia mesti menyedari bahawa Malaysia dan Indonesia tidak sesekali gentar menyanggah ketidakadilan kerana kita bukan hanya negara membangun tetapi negara bangsa yang bermaruah.
Jelas kunjungan kali ini ke Jakarta kata Perdana Menteri tidak sekadar lawatan kerja, tetapi penyataan bersama bahawa Asia Tenggara mesti dipimpin dengan tegas dan yang menggarap denyut nadi rakyat serta berani menongkah arus demi masa depan rantau yang adil, stabil dan makmur. – JM
