YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PAHLAWAN 2025

31 Julai 2025

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025, hari ini (31 Julai).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Dataran Pahlawan, Putrajaya disambut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri.

Hadir sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan; Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Angkatan Tentera dan Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail, Ketua Polis Negara.

Istiadat sambutan yang dinaungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai last post dengan menurunkan Jalur Gemilang.

Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk “Zabri Pejuang Sang Saka Biru” oleh PDRM yang mengisahkan perjuangan ASP Zabri Abd Hamid, salah seorang perwira yang terkorban dalam Ops Bamboo pada 4 September 1975 dan yang paling dikenang dalam 69 Komando.

Sambutan Hari Pahlawan diadakan sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian para pahlawan ATM dan PDRM dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

YDPAgong

AllahPeliharakanSultan

IstanaNegara

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *