






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
1 OGOS 2025
Muzakarah Islamic Digital Finance (MIDF) 2025 membuka tirai sebagai sebuah medan strategik yang menghimpunkan 160 peserta terdiri daripada sarjana Syariah, ahli akademik, pakar industri serta penggubal dasar, dalam usaha membincangkan pelbagai perkembangan serta cabaran dalam landskap kewangan digital Islam yang kian pesat dan dinamik.
Bertemakan “Memperkasa Kewangan Digital Patuh Syariah : Inovasi, Etika dan Inklusiviti”, MIDF 2025 dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) serta Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIiBF).
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniSIRAJ berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Rektor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Noor Farilla Abdullah.
MEMBANGUNKAN EKOSISTEM KEWANGAN
Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi menekankan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem kewangan digital yang berteraskan prinsip Syariah, selain menitikberatkan kepentingan inovasi beretika serta amalan kewangan yang inklusif bagi menjamin keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai-nilai Islam.
Muzakarah ini turut menampilkan ucaptama oleh Noor Farilla Abdullah, diikuti tiga sesi panel yang menghimpunkan pelbagai pandangan dari tokoh akademik, wakil industri dan penggubal dasar menjadikan MIDF 2025 sebagai sebuah platform yang holistik dan berimpak tinggi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian MIDF 2025 serta menyaksikan majlis menandatangani dua inisiatif kerjasama strategik, iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan ASAS, serta Surat Hasrat (LOI) antara UniSIRAJ dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen padu dalam memperkukuh bidang kewangan digital Islam melalui jalinan kerjasama antara institusi akademik, badan profesional dan pihak industri.
Secara keseluruhannya, MIDF 2025 bukan sahaja menjadi wadah perbincangan ilmiah dan dasar yang progresif, malah menekankan kepentingan penyelarasan antara inovasi kewangan dengan prinsip etika Islam.
Selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam bidang kewangan digital Islam, penganjuran muzakarah ini dilihat sebagai pemangkin utama ke arah pembentukan ekosistem kewangan yang adil, inklusif dan patuh Syariah. – JM
