Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025 dikuatkuasa 1 Ogos – KESUMA

Oleh: Sholina Osman
1 OGOS 2025

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan tarikh permulaan kuat kuasa bagi mewartakan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025 mulai hari ini (1 Ogos 2025).

Kenyataan media KESUMA menjelaskan melalui pindaan ini, pembayaran gaji minimum semasa diperluas kepada pekerja kontrak perantisan, selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan semua golongan pekerja.

“Kontrak perantisan adalah merujuk kepada pekerja seseorang majikan yang memperakui akan mengambil orang itu bekerja dan melatih mereka secara sistematik untuk suatu tred,” kata kenyataan itu lagi.

Tempoh latihan adalah di antara enam bulan hingga dua puluh empat bulan dan dalam tempoh tersebut, perantis itu terikat untuk bekerja bersama majikan tersebut.

MELAKSANAKAN PEMBAYARAN GAJI

“KESUMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para majikan yang telah lebih awal melaksanakan pembayaran gaji
minimum kepada pekerja kontrak perantisan,” tambah kenyataan itu.

Bagi majikan yang membayar
lebih tinggi daripada kadar gaji minimum, KESUMA ingin mengingatkan bahawa gaji yang telah ditetapkan tidak boleh dikurangkan.

Kerajaan juga telah menetapkan tarikh kuat kuasa Perintah Gaji Minimum 2024 iaitu pada hari ini 1 Ogos 2025 bagi pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional yang
diklasifikasikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia
(MASCO) 2020.

Sehubungan itu, KESUMA menyeru supaya majikan mematuhi undang-
undang berkaitan gaji minimum yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga
Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak).

Majikan yang gagal mematuhi pembayaran gaji minimum, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap
pekerja. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *