FINAS sokong tema RMK-13 sebagai kerangka nasional baharu perkukuh struktur ekonomi negara

Wartawan JM
1 OGOS 2025

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri yang mengangkat tema “Melakar Semula Pembangunan” sebagai kerangka nasional baharu dalam memperkukuh struktur ekonomi negara.

Kenyataan media FINAS memaklumkan penekanan terhadap ekonomi jingga sebagai salah satu pemacu pertumbuhan masa hadapan memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mentransformasi industri kreatif tempatan agar lebih mampan dan kompetitif di peringkat global.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, FINAS mendukung kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dengan aspirasi RMK-13 melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang menjurus kepada pengukuhan ekosistem industri kreatif negara.

KANDUNGAN BERNILAI KOMERSIAL

Ia termasuk memperkasa penghasilan kandungan bernilai komersial tinggi dengan potensi eksport ke pasaran antarabangsa.

Juga menyokong pembangunan harta intelek (IP) tempatan melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan Film in Malaysia Incentive (FIMI).

“Meluaskan akses pembangunan bakat kreatif tempatan melalui pensijllan dan pentauliahan; dan memantapkan rantaian nilai industri daripada praproduksi, produksi, pascaproduksi hingga pengedaran dan pengewangan kandungan,” kata kenyataan itu lagi.

SELARAS DENGAN AMANAT

Selain itu, selaras dengan amanat Perdana Menteri, FINAS juga akan memberi penekanan khusus terhadap sektor animasi.

Antara usaha yang akan digerakkan termasuklah pelaksanaan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang memberi sokongan geran kepada projek-projek animasi dan kandungan IP tempatan berpotensi tinggi.

Malah pelaksanaan Film in Malaysia Incentive (FIMI) sebagai galakan insentif bagi menarik pelaburan pengeluaran kandungan tempatan dan antarabangsa, dengan fokus kepada IP yang boleh dieksport.

Selain itu pelaksanaan program pensijilan melalui pentauliahan kepada bakat-bakat kreatif tempatan, selari dengan keperluan pasaran dan teknologi semasa.

“Penambahbaikan proses pelesenan kepada penerbit filem cereka animasi untuk tayangan pawagam dan televisyen, dalam memastikan pematuhan standard serta akses pasaran lebih lancar dan berstruktur,” kata kenyataan itu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *