





2 Ogos 2025
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Konsert Meniti Cakerawala bersama Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) pada hari ini (2 Ogos).
Berangkat sama, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru disambut Dato’ Sugumaran Raman, Pengerusi YSR.
Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Portal Rasmi ‘Crowdfunding’ bersama YSR dan mengurniakan bantuan daripada YSR kepada lima penerima golongan B40.
YSR ditubuhkan pada 2015 atas perkenan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Majlis Makan Malam bersama komuniti India sempena Istiadat Hari Kemahkotaan Sultan Johor.
Yayasan ini merupakan salah satu inisiatif Seri Paduka Baginda untuk membantu komuniti India yang kurang berkemampuan.
Konsert Meniti Cakerawala – Sains dan Romantika Alam Semesta merupakan hasil kerjasama antara Sutra Foundation dan Yayasan Sultanah Rogayah bersama Prof Emeritus Tan Sri Dr Mazlan Othman, Ahli Astrofizik terkenal.
Produksi ini menggabungkan tarian, filem, seni visual, muzik dan puisi dengan alunan suara Muhammad Haji Salleh, Johan Jaaffar, Chacko Vadaketh dan mendiang Mano Maniam serta sentuhan seni oleh Jalaini Abu Hassan.
