Kastam Perlis gagalkan cubaan seludup 27,700 unit vape bernilai RM520,800.00 ke Thailand

Oleh: Sholina Osman
7 OGOS 2025

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya merampas 27,700 unit vape yang dianggarkan bernilai RM520,800.00 di laluan eksport, Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada pukul lebih kurang 12 tengah hari, 17 Julai lalu.

Pengarahnya Ismail Hashim berkata kejadian ini dibongkar hasil pemeriksaan oleh sepasukan anggota Kastam Unit Narkotik Padang Besar.

“Pasukan berkenaan telah menahan dan melakukan pemeriksaan rapi ke atas dua buah kenderaan pikup Thailand jenis Isuzu Dmax pada hari kejadian,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di Kangar hari ini (7 Ogos).

Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pertama didapati bahawa dagangan yang dibawa seperti yang diikrarkan sepertimana Borang Kastam No. 2 (K2).

YANG TIDAK DIIKRAR

Bagaimanapun katanya pemeriksaan ke atas kenderaan kedua mendapati sejumlah vape yang tidak diikrar turut diangkut bersama-sama dengan barang runcit.

Beliau berkata modus operandi adalah menyembunyikan barangan tidak diikrar bersama barangan diikrar.

Ismail berkata turut disita adalah kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM20,000.00.

“Seorang lelaki warga Thailand berusia 23 tahun yang memandu pikap berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ismail berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit
(RM500,000.00) atau penjara tidak melebihi tempoh tujuh tahun atau kedua-duanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *