









14 Ogos 2025
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menikmati santapan tengah hari bersama keluarga bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini (14 Ogos).
Majlis santapan tengah hari yang berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru turut diserikan keberangkatan cucunda-cucunda Seri Paduka Baginda berdua.
Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat bersama.
