Kerajaan diminta tambah peruntukan Unit D11 PDRM pada Belanjawan Oktober ini – Nurul Izzah

Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2025

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyeru Kerajaan menambah peruntukan khusus untuk
Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Belanjawan Oktober ini.

Beliau berkata unit ini perlu diperkasakan dengan kelengkapan, peralatan moden dan anggota tambahan.

“Jangan biarkan mereka berjuang bersendirian tanpa sokongan yang mencukupi,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Nurul Izzah berkata kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina dan serangan kejam terhadap anak Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli adalah isyarat jelas kepada semua di mana jika kita gagal bertindak hari ini bermakna lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa esok.

HIDUP DENGAN SELAMAT

“Anak-anak Malaysia berhak hidup dengan selamat, tanpa ketakutan dan sebagai aset masa depan negara, dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi,” jelas beliau lagi.

Nurul Izzah berkata unit kecil ini memikul beban yang sangat berat – mereka ditugaskan menyiasat kes-kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Beliau berkata hampir semua pegawai PDRM dan staf sokongan yang berkhidmat dalam unit ini adalah wanita, namun keadaan mereka serba kekurangan.

Ketika beliau melawat unit ini pada bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama.

ANGGOTA YANG TERHAD

Tambahnya dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat.

“Bayangkan tugasan mereka di mana perlu meneliti bukti melibatkan bayi seawal enam bulan, termasuk rakaman jenayah kejam yang bukan sahaja meragut maruah, tetapi turut dijual di laman gelap untuk keuntungan,” ujar Nurul Izzah.

Kata Nurul Izzah pegawai-pegawai D11 ini adalah terdiri dari ibu, malah ada yang sudah bergelar nenek.

“Namun demi mencari petunjuk untuk menangkap penjenayah, mereka sanggup menonton berulang kali setiap rakaman siasatan yang amat menyayat hati,” kata beliau lagi.

DEMI MELINDUNGI ANAK

“Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah pernah berkata kepada saya – “Kebanyakan pegawai di sini adalah seorang ibu. Demi melindungi anak-anak Malaysia, sebagaimana mereka melindungi anak kandung sendiri, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan,” tambah Nurul Izzah.

Beliau benar-benar terharu, dan merasa terpanggil untuk membantu setakat yang termampu.

“Hasil sumbangan insan-insan budiman yang sehaluan dengan misi ini, sebanyak 10 komputer baharu telah diserahkan, dan sebuah bilik temubual khas untuk kanak-kanak mangsa telah diubah suai menjadi ruang yang lebih mesra serta selamat,” kata Nurul Izzah lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *