






Wartawan JM
29 OGOS 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 dengan penganjuran Program Senamrobik & Brisk Walk yang berlangsung di Dataran Boulevard, Kampus Alam Pauh Putra, hari ini.
Program anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UniMAP itu mendapat sambutan meriah daripada warga universiti yang bersama-sama mengibarkan semangat patriotisme, di samping mengenang jasa dan pengorbanan pejuang tanah air.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata program itu bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap sambutan Hari Kebangsaan, malah mengajak warga kampus menghayati makna kemerdekaan dengan lebih mendalam.
PERIT GETIR PERJUANGAN
βWalaupun kita tidak merasai perit getir perjuangan pejuang terdahulu, marilah kita mengenang pengorbanan mereka dan bertanya pada diriβadakah kita cukup kental dalam mengisi makna kemerdekaan?,β katanya ketika berucap selepas melaksanakan Brisk Walk sejauh tiga kilometer di sekitar kampus.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pegawai-pegawai Utama UniMAP.
Program Senamrobik & Brisk Walk itu turut diserikan dengan aktiviti menarik di tiga βpit stopβ iaitu Tinta Pertiwi (sokongan tanda tangan), Akar Merdeka, Daun Warisan (penanaman bunga raya sebagai simbol Rukun Negara) serta Warong Patriot yang menyediakan minuman buat peserta.
MENGHIAS RUANG KERJA
Dr. Zaliman turut menggalakkan semua jabatan dan pusat tanggungjawab (PTj) UniMAP menghias ruang kerja berinspirasikan tema kemerdekaan, selain memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul mengikut 14 jalur yang melambangkan semangat Persekutuan Malaysia.
βSemoga bulan kemerdekaan ini menyuburkan rasa cinta tanah air, serta menjadikan kita lebih peka terhadap isu-isu berkaitan negara.
βPastikan, pemasangan bendera adalah betul, jumlah jalur perlu ada 14. Ingatlah, kalau bukan kita yang menjaganya, siapa lagi?β katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Lestari UniMAP sebagai pengiktirafan terhadap fakulti dan pusat tanggungjawab (PTj) yang mengutamakan aspek kelestarian persekitaran, sosial dan ekonomi di tempat kerja.
BUDAYA KERJA HIJAU
Beliau berharap inisiatif itu dapat menyemarakkan lagi budaya kerja hijau dalam kalangan warga universiti.
Kategori fakulti dimenangi Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) dengan penarafan 5 Greenleaf manakala PKK pula muncul pemenang tempat pertama bagi kategori PTj dengan penarafan 4 Greenleaf dan masing-masing menerima wang tunai RM350; Plak; Sijil Penghargaan dan hadiah iringan daripada Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) dengan tajaan E-Idaman Sdn Bhd.
Tidak ketinggalan bagi Anugerah Komitmen Lestari 2025 dimenangi Mohd Hafiz Ismail dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik (FKTEN) dengan jumlah berat kutipan kitar semula berjumlah 338kg dan beliau menerima plak; sijil penghargaan dan hadiah iringan COSCEM.
Selain itu, turut diadakan acara penyerahan bendera kontinjen UniMAP bagi dua kejohanan besar iaitu Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKANUN) yang akan berlangsung di UiTM Seri Iskandar, Perak dari 7 hingga 14 September, serta Sukan MASUM di UniSZA dan UMT dari 14 hingga 21 September.
UniMAP akan menghantar seramai 127 atlet dan staf untuk 15 acara di SUKANUN dengan sasaran 1 emas, 1 perak dan 3 gangsa, manakala bagi MASUM, kontinjen terdiri daripada 116 atlet dan 31 pegawai akan beraksi dalam 10 acara dengan sasaran 2 emas, 3 perak dan 10 gangsa. – JM
