




Oleh: Sholina Osman
4 SEPT. 2025
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menyampaikan bantuan Pembaikan Imej Pembungkusan bernilai RM75,000.00 kepada 18 orang usahawan Usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT).
Pengarahnya Mohd Anzara Azizan berkata pemilihan usahawan ini adalah berdasarkan kepada kualiti komitmen mereka bersama dengan program anjuran FAMA.
“Selain itu juga kita juga melihat dari segi kesesuaian produk untuk dibangunkan,” kata beliau pada sidang media selepas Program Libat Urus Bersama Media dan Majlis Penyerahan Bantuan Rekabentuk Label & Pembungkusan Produk Usahawan di pejabat FAMA di Kangar, semalam.
Mohd Anzara berkata usahawan IMAT yang terlibat ini menghasilkan produk makanan kering, konfeksi, pes makanan, produk retort, produk sejuk beku dan lain-lain.
Beliau berkata bagi tahun 2025 sehingga Ogos, FAMA telah menyalurkan perkhidmatan bantuan, geran, dan latihan yang memberi manfaat kepada 218 orang usahawan .
“Keseluruhan peruntukan bernilai RM361,000 yang melibatkan usahawan Pasar Tani, Usahawan Industri Makanan, Agropreneur Muda, Padanan Bekalan dan khidmat nasihat & latihan di bawah Keusahawan Pemasar.
Beliau juga menyeru kepada usahawan di negeri Perlis untuk merebut peluang dengan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi/jabatan khususnya FAMA agar dapat meningkatkan lagi kualiti perniagaan dan ekonomi usahawan.
Salah seorang penerima, Darizz dari Salam Global Solution yang menghasilkan produk Keropok Bersalut Harumanis & Keju melahirkan rasa syukur kerana dipilih menjadi salah seorang penerima.
Beliau berharap dengan rekabentuk baharu bagi produknya itu dapat memberi manfaat khususnya bagi pemasaran keropok harumanisnya. – JM
