Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP bakal diadakan di kompleks baharu

Oleh: Sholina Osman
5 SEPT. 2025

Istiadat Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat pertama kalinya akan diadakan di kompleks baharu Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra dari 22 hingga 25 November 2025 yang akan datang nanti.

Sebanyak lapan sidang konvokesyen selama empat hari akan melibatkan lebih 3, 800 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian termasuk Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana Muda, Diploma serta Program Profesional.

Graduan hadir daripada Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia (FKTK), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FPK), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKTE), Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektronik (FKTEN), Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam (FKTA), Fakulti Kejuruteraan Teknologi Mekanikal (FKTM) selain program Pasca Siswazah dan Profesional.

SEMPENA SESI TAKLIMAT

Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor UniMAP sempena sesi Taklimat Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP yang diadakan di Bilik Canselori, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin baru-baru ini.

Turut berangkat adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama ialah Pendaftar universiti, Norsyahiza Hamzah.

ISTIADAT GILANG GEMILANG

Bersempena dengan istiadat gilang-gemilang kali ini, UniMAP bakal juga menganjurkan Festival Konvokesyen Ke-20 yang dijadualkan berlangsung selama lapan hari bermula 19 hingga 26 November 2025 di pekarangan Dataran Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra.

Pelbagai aktiviti melibatkan warga universiti, pelajar, alumni dan masyarakat secara umumnya akan diaturkan.

Majlis ini juga menandakan persediaan penuh UniMAP bagi memastikan kelancaran penganjuran istiadat serta keselesaan graduan, tetamu kehormat dan sekalian para hadirin.

Penganjuran Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP bukan sahaja meraikan kejayaan graduan, malah menjadi simbol komitmen universiti ini dalam melahirkan modal insan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *