63 Pegawai Kadet PALAPES UniMAP ditauliah Leftenan Muda ATM

Oleh: Sholina Osman
13 SEPT. 2025

Seramai 63 Pegawai Kadet PALAPES UniMAP telah berjaya menamatkan latihan PALAPES selama tiga tahun dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan kumpulan ini merupakan sebahagian daripada 1,927 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 Universiti Awam (UA) yang diraikan dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-43 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

ISTIADAT PERBARISAN PENTAULIAHAN

Ia bermula dengan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja di Padang Kawad UPM sebelum diteruskan dengan Istiadat Pengurniaan Watikah Tauliah di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Naib Canselor UniMAP merangkap Komandan PALAPES UniMAP, Leftenan Kolonel Datuk Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli, diiringi Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Zaliman berkata pada istiadat kali ini, Pegawai Rendah Muda Muhammad Irsham Mohd Zulkifli, yang juga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UniMAP, telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Darat UniMAP.

MEMPUNYAI REKOD CEMERLANG

Tambah beliau anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mempunyai rekod cemerlang sepanjang penglibatannya dalam PALAPES, antaranya Anugerah Pegawai Kadet Senior Terbaik Keseluruhan Latihan Kem Tahunan (LKT) 2025, Johan Bola Sepak Karnival Sukan UniMAP 2024.

Selain itu katanya Muhammad Irsham juga menerima Anugerah Pegawai Kadet Intermediate Ketabahan Terbaik LKT 2024, Tokoh Sukan UniMAP (Bola Sepak) 2023 dan Wakil Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam & Kolej Kediaman dalam Sukan Bola Sepak 2023.

“Pengiktirafan berkenaan sekali gus menobatkan beliau sebagai contoh kepimpinan dan ketahanan diri yang wajar dicontohi rakan seperjuangan,” kata beliau.

UniMAP bakal menjadi tuan rumah bagi Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-44 yang akan diadakan di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada tahun hadapan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *