Fahmi tinjau projek Fibre-to-the Home di RKAT Pangkalan Udara Butterworth

Oleh: Sholina Osman
15 SEPT. 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meninjau perkembangan projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan Pangkalan Udara Butterworth merupakan salah satu kem keutamaan di bawah Kluster 1 (Utara) yang bakal dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi, hasil kerjasama MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Oktober 2024.

Projek ini melibatkan keseluruhan 73 kem tentera di seluruh negara dengan
lebih 59,000 unit RKAT.

Semasa tinjauan, Fahmi telah diberikan taklimat mengenai status projek di tapak serta beberapa perkembangan positif yang telah dicapai di bawah pelaksanaan DUSP Part 1 oleh Stealth Solutions dan DUSP Part 2 oleh TM Technologies Services.

HARGA MAMPU MILIK

Melalui projek ini, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada harga mampu milik iaitu RM49 sebulan bagi 100 Mops, dengan tawaran pengenalan RM39 sebulan untuk enam bulan pertama.

Warga ATM dan keluarga di Pangkalan Udara Butterworth boleh
memanfaatkan kemudahan ini untuk meningkatkan kualiti hidup, menyokong pendidikan anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan keluarga tentera, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan tiada komuniti
tercicir daripada arus digital.

MCMC juga akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan piawaian dipatuhi dan memberi manfaat maksimum kepada warga tentera.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *