Graduan TVET perlu pupuk nilai murni, sikap tanggungjawab sosial – Raja Perlis

Wartawan JM
25 SEPT. 2025

Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disaran berusaha memupuk nilai murni dan sikap tanggungjawab sosial serta semangat patriotisme yang tinggi sebagai sumbangan kepada masyarakat, negeri dan tanah air tercinta.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah setiap graduan perlu menjadi warganegara yang berilmu dan berakhlak mulia serta berintegriti dan berdisiplin kerana generasi TVET berperanan besar dalam agenda pembangunan negara.

“Saya juga ingin menekankan pentingnya amalan pembelajaran sepanjang hayat,” kata Baginda.

MENYEMPURNAKAN MAJLIS KONVOKESYEN

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian setelah berkenan menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-17 dan Kolej Komuniti Arau 2025 di Dewan Harumanis PTSS di Pauh Putra.

Berangkat sama Raja Muda Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pada era Revolusi Industri 4.0, dunia pekerjaan berubah dengan begitu pantas dan kemahiran tradisional semata-mata tidak lagi memandai.

“Sebaliknya, kemahiran baharu seperti automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan (Al), teknologi maklumat (IT), tenaga boleh baharu serta inovasi dalam keusahawanan semakin mendapat permintaan dalam industri,” titah baginda.

TENAGA KERJA MAHIR

Sehubungan itu, Baginda bertitah tenaga kerja mahir yang dilahirkan institusi seperti PTSS dan Kolej Komuniti Arau akan membantu negara ke arah membina infrastruktur moden.

Selain itu titah Baginda ia juga mampu memperkasa industri digital dan memperkukuh sektor kejuruteraan serta memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan lestari.

“Saya juga menyeru kepada semua yang berada di dewan ini (Dewan Harumanis) untuk sama-sama menyemarakkan budaya ilmu demi memartabatkan institusi pendidikan khususnya di Perlis, negeri yang berdaulat.

“Semoga para graduan terus melangkah dengan penuh keyakinan, menjunjung ilmu, mengamalkan nilai murni serta bersedia menjadi generasi TVET yang benar-benar menjadi pemacu kemajuan negara,” titah bagind.

SEBANYAK 1, 116 GRADUAN

Sementara itu sebanyak 1,116 graduan diraikan dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung tiga hari hingga Khamis ini dengan melibatkan empat sidang yang merangkumi program sijil, diploma dan asasi daripada pelbagai jurusan.

Graduan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS, Nur Shafinaz Mohd Noor, 25, menerima Anugerah Kecemerlangan Khas atas pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa yang disampaikan Pengarah PTSS Khairul Anuar Ishak pada majlis konvokesyen hari ini.

Nur Shafinaz ditawarkan kerja dengan Japan Da’wah Centre di Osaka, Jepun sebagai Eksekutif (Pembantu) Hal Ehwal Media, Intern & Halal selepas menjalani latihan industri dari Januari hingga Mei lepas dengan pusat itu dalam bidang pemasaran halal dan multimedia . – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *