


GEORGETOWN, 24 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan usaha memperkukuh nilai integriti dan antirasuah melalui pelaksanaan Program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Program yang dilaksanakan sepanjang 2 hari ini diadakan bagi mengupas pelbagai isu rasuah berkaitan perolehan kerajaan termasuk amalan pecah kecil, peranan orang tengah, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu, dan pembentukan kartel perolehan. Selain itu, turut dibincangkan berkenaan isu pengurusan dana yang melibatkan Program Pembangunan Seni Budaya dan Insentif Seni Kewangan JKKN dimana jumlah peruntukan yang diterima oleh JKKN adalah sebanyak RM2 juta setahun.
Pengisian program turut menekankan aspek tatakelola dan integriti dalam perkhidmatan awam serta memberi pemahaman mendalam kepada para peserta berkaitan peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 telah disampaikan oleh PPj Mohamad Izam bin Abd Nasir dari Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM.
Elemen interaktif turut diterapkan melalui pendekatan gamifikasi antirasuah yang bertujuan menguji kefahaman dan membentuk kepekaan terhadap isu rasuah. Terdahulu, program ini dirasmikan oleh YBrs Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN.
