


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IRN) sekalipun dalam kesibukan dan kebimbangan global ke atas misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan MyDigital ID yang perlu dipertingkatkan, status MyGov Malaysia yang memerlukan kerjasama dan sokongan semua kementerian dan agensi.
“Juga keputusan Kerajaan untuk mewujudkan Sovereign AI Cloud bagi memastikan keupayaan kecerdasan buatan nasional yang selamat, berdaulat dan mampu menyokong perkhidmatan Kerajaan serta pembangunan digital negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
SEMUA GERAK KERJA
Jelas beliau semua gerak kerja ini adalah sebagai persediaan Malaysia ke arah negara AI menjelang 2030.
“Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Dasar Kuantum Negara yang akan dimulakan dengan penubuhan Pasukan Kuantum Negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi perkembangan teknologi kuantum serta ancaman Q-Day yang boleh menjejaskan keselamatan data dan infra digital negara,” tambah beliau.
Beliau berkata tindakan ini penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan. – JM
