

Oleh: Sholina Osman
12 OKT. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC menggesa media melaporkan isu ini secara beretika dan bertanggungjawab, tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
Pengamal media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang
maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenalpasti.
AKTA KANAK-KANAK
“Ia selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” kata kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 [Akta 588].
MCMC sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan
daripada platform media sosial. – JM
