




Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2025
Seramai 756 orang belia yang terdiri daripada pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu menghadiri program Kempen Internet Selamat (KIS).
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah merasmikan ke program KIS di Dewan Citra, Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.
KINI GIAT DIPERLUAS
KIS anjuran Kementerian Komunikasi melalui MCMC ini kini giat
diperluas ke institusi pendidikan di seluruh negeri Sabah.
“Setakat Oktober 2025, daripada 4,734 institusi pendidikan telah menyertai kempen ini di seluruh negara, sebanyak 434 daripadanya adalah dari negeri Sabah,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu program KIS ini bagi memperkukuh kesedaran terhadap keselamatan siber serta memupuk budaya penggunaan Internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan
generasi muda.
ISU-ISU SEMASA
Program ini juga memberikan tumpuan kepada isu-isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penularan maklumat palsu.
Melalui pendekatan interaktif, para pelajar turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan, serta menilai
kesahihan maklumat sebelum dikongsi.
Selain itu, penekanan turut diberikan mengenai kepentingan mengamalkan sikap berhemah di media sosial dengan tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengelak risiko keselamatan dan penyalahgunaan data.
KIS mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam memperkasakan masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber. – JM
