






Oleh: Sholina Osman
30 OKT. 2025
Raub dan Bentong menjadi daerah terawal di Pahang melaksanakan program Kempen Internet Selamat (KIS) sepenuhnya.
Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan seramai 304 orang pelajar daripada 76 buah sekolah rendah dan menengah dari dua daerah berkenaan menyertai program KIS.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Karnival KIS peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah, Raub, Pahang.
Karnival ini juga merupakan kesinambungan pelaksanaan program KIS yang sebelum ini
telah dijalankan di 419 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Pahang.
PELAJAR KOLEJ KOMUNITI
Turut serta, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, pelajar Kolej Komuniti Raub, Majlis Pengakap Negeri Pahang, Komuniti MADANI, Penghulu Mukim
daerah Raub, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), Majlis Belia Daerah Raub serta pemimpin komuniti
setempat.
Antara pengisian karnival termasuklah sesi taklimat dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan Internet secara selamat dan beretika.
Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC
dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut membuka reruai bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai fungsi aplikasi Internet, risiko ancaman dalam talian dan had umur minimum bagi pemilikan akaun media sosial.
Para peserta menunjukkan tahap penglibatan yang tinggi dan berjaya memahami asas literasi digital, mengenal pasti risiko seperti buli siber dan pengantunan (grooming), serta
mempelajari kaedah penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab melalui
aktiviti permainan interaktif yang disediakan.
Karnival ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah dan NADI. – JM
