Duta Besar Libya ke Malaysia kagum dengan keindahan nilai kekeluargaan di Perlis

Wartawan JM
30 OKT. 2025

Duta Besar Libya ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Mohamed A.M. Attia, menzahirkan rasa kekaguman terhadap keindahan nilai kekeluargaan yang dirasai sepanjang lawatan kerja beliau ke Negeri Perlis.

Dalam ucapan sebelum pulang ke ibu
negara, TYT Mohamed A.M. Attia berkata walaupun beliau telah berada di Malaysia hampir tiga tahun dan berpeluang melawat ke pelbagai tempat, namun lawatan ke Perlis kali ini memberikan pengalaman yang sangat istimewa, terkesan dan berbeza.

“Apa yang kami rasakan di sini ibarat bersama satu keluarga,” ujar beliau dengan penuh rasa terharu.

SIFAT RENDAH DIRI

Beliau turut memuji sifat rendah diri serta keperibadian mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam mendekati, menyantuni serta berinteraksi secara mesra dengan rakyat di setiap peringkat.

“Kami amat mengagumi bagaimana Tuanku berhubung dengan rakyat dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan,” katanya lagi.

Ucapan tersebut disampaikan sempena Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

EDISI KALI INI

Kayuhan pada edisi kali ini turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, Atase Akademik Kedutaan Libya di Malaysia, Dr. Aiman A. K.
Elmahmod, serta Pengawal Kewangan, Kedutaan Libya di Malaysia, Dr. Nassar Grepay.

Sempena program tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Prathin Bamrungphak, 59 dari Kampung Tengah, Che Sepiah Musa, 71 dari Kampung Seberang Alor, dan Ramli Ismail, 78 dari Kampung Pulau Ketam.

Setiap mereka menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah.

Terdahulu daripada itu TYT Mohamed menyampaikan syarahan umum sempena ‘Ambassador Talk Series’ bertajuk ‘Building Bridges Of Knowledge : Towards Strategic Partnership In Education And Innovation’ di Kompleks Dewan Kuliah UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *