MCMC siasat individu berhubung muat naik imej ‘Utusan’ palsu

Oleh: Sholina Osman
6 NOV. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu di platform Facebook, memaparkan imej
disunting menyerupai laporan portal berita tempatan bertajuk “Anwar akui
banyak kesilapan perjanjian dengan US”.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan bahawa imej suntingan tersebut yang disertakan dengan logo portal media Utusan Malaysia, didapati palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai.

Siasatan awal turut mengesahkan bahawa Utusan Malaysia telah menafikan penerbitan laporan berkenaan serta menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama dan logo akhbar tersebut.

BAGI MEMBANTU SIASATAN

Sehubungan itu, individu disyaki telah dipanggil bagi membantu siasatan dan keterangan telah dirakam pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka.

Satu peranti telefon bimbit dan satu kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau
penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutamanya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.

Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan mengundang tindakan undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *